
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap semua pihak berhenti mempersoalkan isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Gesaan itu dibuat, berdasarkan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bahawa Perdana Menteri disahkan tidak bersalah menerima derma RM2.6 bilion sekaligus mengarahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menutup kertas siasatan kes tersebut.
Dengan terjawabnya segala persoalan melibatakn derma tersebut, Zahid meminta semua pihak bersatu dan memberi sokongan kepada Perdana Menteri memajukan negara ini, kerana rakyat sudah terlalu banyak membuang masa membincangkan isu tersebut.
”Siasatan (isu derma RM2.6 bilion) yang membawa kepada penemuan Peguam Negara adalah teliti dan menyeluruh, di mana setiap bukti dan perkara disiasat dengan mendalam. Tiada sesiapapun harus mempersoalkan proses undang-undang kita atau kecekapan dan kebebasan institusi di Malaysia.
“Kita telah terlalu banyak menghabiskan masa dengan perkara ini. Justeru, saya berharap ia tidak diungkit lagi. Kita mesti bersatu dan bergerak ke hadapan di bawah kepimpinan Perdana Menteri untuk Malaysia. Beliau adalah orang yang amat bersesuaian untuk membawa kita mengharungi kemelut ekonomi global semasa dan ancaman keselamatan yang dihadapi kini,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Terdahulu, Perdana Menteri mengalu-alukan kenyataan Peguam Negara, yang mendapati tiada kesalahan jenayah yang dilakukan olehnya melibatkan isu SRC International Sdn Bhd dan derma politik RM2.6 bilion, malah turut menyeru rakyat Malaysia bersatu dan bergerak ke hadapan.
Mengulas lanjut, Zahid berkata beliau sendiri telah bertemu dengan penderma dan mengesahkan bahawa Perdana Menteri memilih sendiri untuk menggunakan sumbangan tersebut untuk kepentingan parti dan keperluan masyarakat di seluruh Malaysia.
Jelasnya, walaupun pelbagai penjelasan sudah dibuat, sebagai pemimpin politik mereka bersedia untuk diserang musuh yang ingin merosakkan reputasi dengan membuat tuduhan palsu terhadap pemerintah.
“Walau bagaimanapun, adalah salah untuk merosakkan reputasi kerajaan dan negara untuk kepentingan politik peribadi. Kepentingan negara perlu mengatasi kepentingan peribadi,” katanya.
0 comments:
Catat Ulasan