BUKIT MERTAJAM – Tiada siapa menyangka seorang pemuda yang pernah
mencapai berat badan 100 kilogram (kg) suatu masa dahulu kini menderita
akibat penyakit diabetes yang kronik.
Malah, Khairul Helmi Roslan yang baru berumur 25 tahun itu juga
menderita penyakit berkenaan hanya kerana kegemarannya meminum air
berkarbonat sehingga menyebabkan dia kini kurus kering dengan berat
badan hanya 36 kg.
Penyusutan mendadak berat badannya itu juga menyebabkan tiada lagi
keceriaan pada wajah Khairul Helmi yang kini terpaksa menumpang kasih
adik perempuannya di Kampung Tok Panjang, dekat sini sejak dua tahun
lalu.
Menurutnya, sejak dua tahun lalu sebaik sahaja disahkan menghidap
penyakit itu, selera makannya mula berkurangan dan berat badannya juga
menyusut sehingga kurus kering.
Malah keadaannya amat menyedihkan kerana kadang-kala hanya mampu
terlantar di rumah akibat penyakitnya itu dan terpaksa dipapah oleh
adiknya, Nurul Athirah, 24.
“Dulu badan saya pernah mencecah 100 kg malah saya dikategorikan
berbadan besar tapi sihat dan mampu bekerja sebagai operator kilang
dekat Perai.
“Namun segalanya berubah pada 2012 apabila saya disahkan menghidap
diabetes yang kronik menyebabkan berat badan menyusut serta kini hanya
mampu terlantar di rumah dan dijaga oleh adik perempuan saya,” katanya
ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.
Tambahnya, sejak ibu bapanya berpisah, ibunya, Rosmah Sulaiman, 44,
berkahwin lain dan kini menetap bersama bapa tirinya dan hanya sesekali
datang menjenguknya di rumah.
Jelas Khairul Helmi, biarpun sedih dengan nasib yang menimpanya namun, dia reda dan pasrah atas ketentuan itu.
“Kalau dapat diputar kembali masa, saya mahu kembali sihat macam dulu
dan tinggalkan amalan buruk suka minum air berkarbonat yang menjadi
punca penyakit ini,” ujarnya.
Sementara itu, rakannya, Mahazan Mohamad, 34, berkata, dia tidak
menyangka Khairul Helmi menjadi kurus akibat menghidap penyakit yang
kronik kerana menyangka rakannya itu selama ini mengamalkan diet.
“Memang saya terkejut apabila dimaklumkan yang dia menghidap diabetes
kronik kerana saya sangka dia hanya berdiet. Apapun saya tetap akan
berada di sisinya dan memberi sokongan agar dia kembali sihat.

0 comments:
Catat Ulasan