SEORANG kawan perempuan bertanya, betulkah lelaki lepas kahwin akan jadi manja, dan apabila usia meningkat 40-an, manjanya menjadi-jadi.
Saya tidak terus menjawab. Sebabnya, dia belum kahwin dan saya tidak mahu sebarang jawapan saya akan mempengaruhinya untuk buat satu persepsi yang kekal terhadap lelaki. Ini tidak bagus untuk perkahwinannya nanti.
Namun pertanyaan itu memberikan saya idea untuk mendapatkan reaksi daripada kawan-kawan lain. Hasilnya, daripada lelaki, kebanyakannya memilih jawapan selamat. Ini sudah tentu kerana tidak mahu 'kemachoan' mereka terjejas jika mengaku.
Namun ada juga yang membuat saya berasa simpati kerana ramai yang mengaku, semakin lama, mereka semakin tidak dipedulikan malah ada juga isteri yang menyalah tafsir kemanjaan mereka sebagai mengada-ada. Tidak kurang juga isteri yang mengaku kepada saya, manja suami perlu dibaca sebagai malas.
Oh, sampai begitu sekali!
Zarina, seorang isteri, memberitahu saya, lelaki yang manja selepas berkahwin sebenarnya hanya mengambil kesempatan. Dalam kata lain, banyak urusan mahu diserahkan kepada isteri sedangkan isteri sendiri ada banyak urusan lain seperti jaga anak, memasak, mengemas rumah dan sebagainya. Itu belum lagi dikira urusan basuh kain, sidai kain, gosok kain dan lipat kain.
"Ini, nak gosok baju pun harap isteri. Dulu pakai baju tak bergosok pun tak kisah," katanya .
Saya cuba meredakan wanita berusia lewat 20-an itu dengan berkata, "Suami minta awak gosok sebab dulu dia tak pernah gosok baju, jadi dia tak pandai gosok baju. Nanti kalau dia gosok tak elok, orang akan mengata awak juga. Tengok tu, pakai baju kedut, mesti isteri dia yang tak pandai gosok. Nanti awak sendiri yang malu.
Jadi, dia nak jaga reputasi awak sendiri jugak," kata saya.
"Itulah Che Mat, cakap asyik nak menangkan lelaki," balasnya dengan nada tak puas hati.
Walau apa pun, baginya manja lelaki yang lepas berkahwin hanya kata positif bagi maksud sebenar, iaitu pemalas.
Aida, seorang isteri berusia lewat 30-an pula beri komen yang sangat positif. Katanya, kemanjaan suami mula kelihatan selepas 10 tahun berkahwin dan akan jadi lebih ketara selepas 15 tahun.

0 comments:
Catat Ulasan