
Sudah menjadi lumrah manusia, selagi sesuatu benda tu belum jadi kat batang hidung sendiri, selagi itu jugalah kita ni akan berasa selesa sokmo!
Asyik membanding-bandingkan perkahwinan kita dengan perkahwinan orang lain. Nampak orang lain bahagia, kita kat sini sakit hati dengan pasangan sendiri. Lepas itu, mulalah nak salahkan pasangan dan mempersoal kenapa pasangan kita tak seperti pasangan orang tu? Betul tak?

Yelah, apa yang anda nampak kat pasangan orang lain itu hanyalah apa yang mereka hendak tunjukkan kepada anda. Di rumah mereka, ribut taufan melanda pun bukannya anda tahu. Hmm… kantoi.
Kadang-kadang, jika sentiasa berada di tempat yang selesa pun tak boleh juga ye dak? Nak-nak kalau perkara yang bersangkut paut dengan perkahwinan ni. Untuk menyedarkan anda semua, Wanista dah cuba korek rahsia daripada individu yang pernah bercerai. Sesungguhnya, nasihat dari mulut orang yang sudah makan garam dulu ini lebih rasional!
#1 Utamakan Perhubungan Anda

Betapa pentingnya untuk anda lebihkan masa bagi merancang dan memikirkan masak-masak tentang kehidupan getir yang bakal anda tempuhi bersama pasangan SELEPAS BERKAHWIN. Bukannya hanya sibuk memberi perhatian kepada kerja-kerja perancangan majlis perkahwinan idaman anda yang mencecah puluhan ribu ringgit itu.
Ni, ada yang buat majlis kahwin secara besar-besaran, tetapi perkahwinan itu tidak mampu pun bertahan sehingga ke akhirnya. Apa cerita ni? Tanya balik diri, sama ada anda sanggup bersusah-payah dengan pasangan? Betul ke dia tu pilihan anda sampai bila-bila? Fikir untuk jangka masa panjang. Kalau setakat nak kahwin sebab rupa paras dan harta, you better stop that relationship by now.
#2 Lihat Kebaikan Yang Ada Padanya

Fokus lebih kepada kebaikkan pasangan. Yang buruk tu anda ketepikan dahulu. Jika anda asyik perhatikan segala keburukkan dan kekurangan si dia, fikiran anda akan teracun. Itu yang anda menggila dan meroyan tak tentu pasal. Penulis bukan nak jadi berat sebelah, tapi percayalah, perempuan memang cepat melenting. SENSITIF melampau!
Bila anda marahkan teman lelaki atau suami anda, cuba ingat kembali detik-detik bahagia, pengorbanan dan segala komitmen anda bersama. Mesti hati anda akan terubat secara perlahan. Lawan negativiti okay? Jangan mengalah dengan hasutan Syaitan. Syaitan memang suka meruntuhkan masjid yang kita, suami isteri bina.
#3 Tinggalkan Kerja Di Pejabat

Punca! Jangan cari pasal. Penulis tak nafikan, memang ada jenis manusia yang workaholic dalam dunia ni, tetapi haruslah berpada-pada. Ini kadang-kadang, baru jejak rumah pun dah ada yang client atau kawan-kawan pejabat telefon -ajak keluar atas urusan kerja katanyaaa…
Jagalah hati pasangan. Tinggalkan semua perihal kerja di pejabat. Rumah adalah syurga untuk anda bermesra dengan pasangan. Dalam sehari anda luangkan hampir 8 hingga 9 jam di pejabat, jadi selebihnya sebelum menjelang jam 12 tengah malam itu, luangkanlah masa sebaik-baiknya bersama keluarga. Cinta itu memang perlukan pengorbanan, sayang.
#4 Jangan Tergesa Untuk Berkahwin

Sejak dua dan tiga tahun lepas, penulis perasan ramai pasangan anak muda yang sanggup berkahwin awal. Kawan-kawan penulis pun dah ramai yang kahwin semasa umur mereka baru mencecah 23 tahun. Kata mereka, mereka dah bersedia. CUKUP BERSEDIA untuk memikul tanggungjawab sebagai suami, isteri, ibu dan bapa. Penulis terdiam dan masih tak faham. Bukan niat untuk menjadi kolot tetapi ada banyak lagi perkara yang harus ditimbang tara sebelum semuanya menjadi mudarat.
Oleh itu, fikir masak-masak. Bukan senang untuk hidup dalam era masa kini yang kian mencabar. Ada kerja tetap? Ada rumah selesa di lokasi strategik yang selamat? Ada kereta untuk kehulu-kehilir? Ada duit nak bayar kos bersalin di hospital yang beri perkhidmatan terbaik? Ada duit untuk tampung perbelanjaan anak dengan sempurna? Pendidikan anak? Makan pakai anak? Nafkah kebajikan isteri? Ada duit untuk sekali-sekala melancong di tempat menarik? Ada duit untuk beli barang dapur secukupnya setiap bulan? Ada duit untuk persediaan menghadapi sebarang bala atau kecemasan tanpa diduga?
Kita sama sekali tidak tahu apa yang tuhan hendak uji. Untuk hidup di Kuala Lumpur, gaji berjumlah RM3600 itu pun sudah dikira miskin bandar tahu? Jadi, bersedialah dengan sebaiknya.
Kita selalu perasan yang kita tahu semuanya, walhal kita ini naif. Penulis nak ingatkan, perempuan terutamanya harus tahu berdikari dan jangan terlalu berharap pada tanggungan yang suami berikan. Sejauh mana anda dah bersedia untuk berkahwin?
Memanglah sekarang anda yakin dia adalah orangnya tetapi itu hanyalah kerana anda belum duduk sebumbung dengannya. Bila hari-hari kita dah duduk dengan orang tu, ha… hat tu lah baru real. Betul dah bersedia?
#5 Berkomunikasi

Jangan terlalu pasif dan sentiasa ingin menjaga hati orang sehingga badan sendiri yang merana. Maksudnya di sini, tidak salah untuk anda menyatakan apa yang terbuku di hati terhadap pasangan. Jujur sahajalah, jika tak suka, kata tak suka.
Jangan tunggu sehingga segala amarah dah penuh didada baru anda nak meneriak. Jangan menangguh, kerana masalah itu akan jadi lebih serius nanti.
Gunakan masa sebaiknya untuk berkomunikasi secara terbuka. Jangan terlalu takut untuk berlaku jujur terhadap pasangan. Biarkanlah jika pasangan anda tidak bersetuju dengan pendapat anda pun, sekurang-kurangnya anda telah menyatakan apa yang anda rasa.
Mana satu yang anda nak? Terus terang tapi dimarahi atau tidak memberitahu perasaan anda dan akhirnya anda sendiri yang makan hati?
#6 Tetapkan Satu Masa Untuk Bersemuka & Berbincang

Apa anda ingat di pejabat sahaja ada perjumpaan mingguan? Keluarga pun beroperasi seperti sebuah syarikat.
Keluarga adalah sebuah institusi yang harus mempunyai pengurusan berkualiti. Dalam pengurusan pula, harus ada jalan penyelesaian untuk membubar segala permasalahan yang dihadapi. Oleh itu, cari satu ruang dan masa yang sesuai pada setiap bulan untuk anda dan pasangan bersemuka serta berbincang secara rela hati.
Jangan biarkan hubungan anda dan si dia terus goyah dan dingin dek kerana permasalahan yang dihadapi. Anda dan dia harus berdisiplin. Apabila selalu berbincang, mengeluarkan isi hati, luahan dari hati ke hati, barulah hubungan anda lebih intim dan lancar. Baru BAHAGIA dan bebas dari masalah meragukan!
#7 Relaks

Yang ini mungkin kedengaran tidak siuman. Mana mungkin kita boleh ketawa dalam keadaan hati sedang remuk.
Maksud penulis, kalau anda bergaduh dengan pasangan sekali pun, jangan lah terlalu serius dan mengambil masa yang lama untuk merajuk. Merajuk sikit je sudahlah.
Wahai lelaki, sila take note. Jika pasangan anda merajuk tak tentu pasal, cubalah berjenaka dengannya. Mungkin anda bakal dimarahi oleh si wanita kerana bertindak tidak serius. Tetapi, percayalah! Lawak bodoh anda itu pasti akan diterima oleh si dia lambat-laun. Cuba buat dia ketawa. Bukannya susah sangat hendak pujuk hati perempuan ni :) Gelak itu kan satu macam terapi.
#8 Setuju Untuk Tidak Setuju

Agak sukar untuk ajar diri supaya ikut gaya dan kepala pasangan setiap masa.
Pokoknya di sini, anda boleh bergaduh, tetapi bergaduhlah secara adil dan saksama. Belajar untuk mengalah.
Sekali-sekala kita jadi mangsa yang dipersalahkan seronok juga. Walaupun sebenarnya kita tak salah langsung dalam hal tu. Haha, kan dah cakap tadi. Jangan serius sangat!
#9 Jangan Besarkan Hal Yang Kecil & Remeh

Bertabahlah. Kalau setakat benda yang remeh, contohnya anda nak bising suami tak reti lipat baju sendiri atau tak reti nak basuh pinggan sendiri atau malas nak kemaskan tempat tidur, manakala si suami pula bising rambut isteri gugur merata-rata atau isteri tak tahu nak masak makanan kegemaran anda atau isteri suka tinggalkan anda tonton rancangan perlawanan bola sepak sorang-sorang, HENTIKANLAH! Kerana semua itu mengabehkan bogheh yo!
Buat apa nak besarkan hal yang remeh? Chill lah! Pada pendapat penulis, jika anda bersetuju untuk mengahwini seseorang, bermakna anda dengan rela hatinya telah bersetuju untuk mengahwini segala masalah dan perangai pasangan juga. So, dah kahwin kan? Teruskan sajalah. Layankan saja perangai pasangan anda. Dalam dunia ni, tiada siapa pun yang sempurna. Okay? Terima seadanya. Tetapi anda pun, kalau boleh, cubalah berubah untuk jadi yang lebih baik. Jangan amalkan perangai tak senonoh tu. Kesian pasangan. Cuba untuk BERTIMBANG RASA.
Sebelum lakukan sesuatu perkara, cuba letak diri dalam kasut pasangan. Cuba selami apa yang pasangan akan rasa jika anda berbuat demikian. Barulah relevan namanya.
#10 Hargai Pasangan

Ubah mentaliti, janji untuk sehidup dan semati dengan pasangan bukanlah tiket untuk anda tidak menghiraukan si dia sesuka hati. Tiada jaminan yang hari esok akan menjadi sama seperti hari ini.
Ajal tidak mengenal manusia, sampai masa dia akan hilang selama-lamanya dari kita. Sebelum terlambat, hargai pasangan anda sebaiknya.

Buktikan yang cinta anda akan kekal sehingga ke Jannah seperti yang selalu diungkap oleh kebanyakkan orang. Selamat beramal!
0 comments:
Catat Ulasan